Apabila kita menyebut sahaja Istana Topkapi, pastinya fikiran kita mula terbayangkan keindahan istana yang tersergam indah di kota Istanbul, Turki. Selain daripada keindahan Istana Topkapi, terdapatnya kediaman rasmi Sultan dan kaum kerabatnya yang dipanggil Harem.
Ramai yang menyangka bahawa Harem adalah bukan sekadar tempat berehat bahkan tempat berfoya-foya bagi sultan, serta pelbagai lagi pandangan yang buruk terhadap kediaman rasmi ini.
Perspektif begini telah tersebar luas termasuklah yang terdapat di dalam brosur-brosur pelancongan di Turki, penerangan oleh sebahagian pemandu pelancong profesional, malah sebahagian besar penulis yang diiktiraf sebagai ahli sejarah di barat sekalipun menceritakan tentang keburukan yang diada-adakan terhadap sultan dan kediaman rasminya sebagai tempat berseronok bersama hamba-hamba perempuan.
Tambahan pula, ada dikalangan mereka yang memukul sama rata bahawa para sultan hidup dalam keadaan serba mewah dengan membiarkan rakyatnya miskin.
Lebih malang, sesetengah tour guide yang dikatakan profesional ada menerangkan pada para pelancong Eropah mengenai salah satu ayat Al-Quran & hadith yang digantung di dinding atau yang telah diukir di kawasan Harem sebagai kata-kata ghairah sultan kepada para gundiknya.
Ini adalah satu kejahilan dan penghinaan yang nyata kepada ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadith Nabi ﷺ.

Dakwaan sebegini adalah tidak benar malah ia penuh dengan pelbagai tanggapan buruk tanpa didatangkan dengan bukti yang kukuh.
1) Di dalam istana Topkapi secara umumnya terdiri daripada ruang pejabat dan kediaman rasmi bagi Sultan, para menteri dan penjawat awam Daulah Uthmaniyyah. Semuanya adalah dalam satu kawasan tetapi tersusun rapi melalui blok-blok sesuatu tempat.
2) Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan Harem itu?
Harem bermaksud tempat suci atau kawasan suci bagi sesuatu agama yang tidak dibuka kepada semua orang untuk masuk.
Perkataan ini juga turut digunakan untuk dua kota suci umat Islam, Mekkah dan Madinah iaitu الحَرَاميْن atau Haremeyn. Ia merujuk kepada dua tempat yang suci dan tidak boleh dicemari yang mana kawasan ini hanya orang muslim sahaja yang dibenarkan masuk.
Begitu juga dengan kediaman rasmi sultan yang mana perkara ini cuba dipraktikkan di dalam sistem kediaman tersebut. Di dalam Islam, lelaki asing (ajnabi) tidak dibenarkan masuk ke sesuatu kediaman/rumah yang mempunyai wanita di dalamnya kecuali yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan begitulah sebaliknya. Hal ini adalah untuk menjaga kehormatan masing-masing dan mencegah sesuatu daripada perkara yang tidak diingini.
Ketika pemerintahan Uthmaniyyah, kedua-dua kediaman rasmi dan istana (tempat tinggal bagi Sultan, putera-puteri sultan dan kakitangan kerajaan berpangkat besar) dibahagikan kepada dua kawasan :
a) Haremlik
b) Selamlık
Kawasan Haremlik adalah di mana tempat wanita-wanita istana tinggal. Maka, isteri-isteri Sultan pula dipanggil sebagai Harem dan kediaman tersebut dikenali sebagai Harem-i Humayun (Imperial Harem) .
Walaupun terdapatnya kediaman khusus bagi sultan sahaja iaitu Dar al-Sa’dah (Abode of Felicity), tetapi ia turut dipanggil sebagai Harem.

Di dalam kawasan Harem pula terdiri daripada 3 bahagian.
Di zaman pemerintahan Osmanlı, bahagian pertama (1) disebut sebagai Medhal (pintu masuk) yang mana terdapatnya seorang Ketua Pegawai Istana (sida-sida) dan hamba-hamba lelaki (köle) yang menjaga dan bertugas di kawasan pintu masuk tersebut. Mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan Harem kecuali Ketua Pegawai Istana dengan keizinan.
Bahagian kedua (2) pula, terdiri daripada hamba-hamba perempuan (jariye) yang mana mereka berkhidmat kepada ahli keluarga dan kaum kerabat sultan (isteri-isteri sultan, putera puteri sultan dll yang mempunyai hubungan kekeluargaan).
Hamba-hamba perempuan ini merupakan pekerja rasmi Harem yang dipanggil sebagai Hazinedar Usta. Mereka tiada apa-apa hubungan kekeluargaan apatah lagi sebagai gundik kepada sultan.
Kemudian, bahagian ketiga (3) adalah dikalangan wanita-wanita yang mempunyai hubungan rasmi dengan sultan antaranya isteri pertama sultan (baş kadın efendi) yang mana merupakan ketua bagi kumpulan ini. Selain isteri kedua dan ketiga terdapat juga wanita yang berstatus hamba yang mempunyai hubungan rasmi dengan sultan secara halal dan sah di sisi syariat. Mereka juga adalah isteri & ibu kepada putera puteri sultan yang mana mengikut undang-undang istifrash atau tasarri.
- Apakah yang dimaksudkan dengan hukum istifrash atau tasarri di dalam Islam?
- Apakah hukum perhambaan dan mempunyai isteri yang bukan gahara di dalam Islam?
- Adakah Islam menghalalkan perhambaan sesama manusia ?
Kesemua persoalan ini, kami akan cuba kongsikan dan terangkan satu persatu di episod yang akan datang…
Nantikan !
Bacaan lanjut: Ottoman History Misperception & Truth (Prof. Dr Ahmed Akgünduz dan Prof. Dr Said Öztürk)
Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah
Jom bersama Jejak Uthamaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim sambil berkongsi mengenai sejarah Islam khususnya Daulah Uthmaniyyah yang telah bertahan hampir 600 tahun di setiap tempat yang kita akan jelajahi.
