Mimar Sinan merupakan antara arkitek agung dan berpengaruh sepanjang zaman. Beliau hidup ketika Daulah Uthmaniyyah berada di puncak kegemilangan khilafah iaitu di zaman pemerintahan Sultan Selim I (9), Sultan Süleyman I (10) sehinggalah ke Sultan Selim II (11) dan Sultan Murad III (12).
Nama sebenar beliau adalah Sinan bin Abdulmennan bin Doğan Yusuf (14989-1588) yang berasal dari kawasan Anatolia di Ağırnas, Kayseri yang mana sekitar 11 jam perjalanan menaiki bas dari Istanbul. Dia dibesar dengan berlatarbelakangkan dari keluarga Turki Kristian.
Sewaktu remajanya, beliau datang ke Istanbul dengan penuh harapan dapat menyertai pasukan Janissari. Memang bukan mudah untuk menjadi ahli pasukan ketenteraan elit ini kerana perlu melalu pelbagai ujian saringan.
[Bacaan lanjut mengenai sistem pasukan elit Uthmaniyyah :
Tentera Janissari Uthmaniyyah, Pelindung Atau Pengkhianat Negara?]
Sepertimana yang Allah S.W.T sudah janjikan di dalam Al-Quran [94:5-6] bahawa ‘setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan’.
Dan akhirnya, beliau diterima juga sebagai ahli pasukan Devşirme (salah satu sistem merekrut tentera) ketika pemerintahan Yavuz Sultan Selim (1512-1520) dan seterusnya telah berjaya melayakkan diri secara rasminya sebagai ahli pasukan elit Uthmaniyyah, Janissari semasa pemerintahan Sultan Suleyman Al-Kanuni (1520-1566).
Bagaimana Beliau Digelar Sebagai Mimar Sinan?
Semasa menyertai pasukan Janissari, Sinan menunujukkan bakatnya di dalam bidang kejuruteraan. Hari demi hari bakatnya diasah dan semakin menyerlah sehinggalah beliau dinaikkan pangkat sebagai pegawai di dalam angkatan tentera setelah banyak menyertai kempen peperangan dalam pemerintahan Sultan Selim I dan Sultan Süleyman Al-Kanuni.
Di dalam kempen peperangan di Moldavia bersama Sultan Süleyman pada 1538, Sinan telah menunjukkan kemahirannya dalam mereka bentuk jambatan menyeberangi Sungai Prut sehingga tempoh pembinaannya hanya mengambil masa selama 13 hari sahaja bagi kemudahan orang ramai.
Perkara ini telah menarik perhatian Sultan Süleyman Al-Kanuni sehingga baginda memuji Sinan atas kecekapan dan kreatifnya dia dalam bidang tersebut. Tanpa diduga Sultan telah menganugerahkan Sinan pangkat sebagai Ketua Arkitek Uthmaniyyah pada 1539.
Disebabkan itu, beliau digelar sebagai Mimar Sinan yang bermaksud Arkitek Sinan.
Mimar Sinan Mencetuskan Fenomena
Di Dalam Dunia Arkitek.
Selepas Gereja Hagia Sophia dijadikan sebagai sebuah masjid ketika itu, para arkitek Uthmaniyyah sering menjadikan Masjid Aya Sofya sebagai kayu ukur bagi mereka bentuk masjid-masjid yang lain. Disebabkan itulah, kita lihat kebanyakan masjid di Turki ni mempunyai reka bentuk yang hampir sama semuanya.
Reka bentuk asas bagi sesebuah masjid di zaman Daulah Uthmaniyyah adalah kubah utama yang berada ditengah dan separuh kubah yang dibina di sekelilingnya bagi menyokong struktur kubah utama. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi saiz masjid dan kapasiti jemaah yang ramai. Dan apa yang membezakan antara gereja dan masjid di zaman itu adalah pada tiang menara masjid untuk melaungkan azan.
Walaupun beberapa dekad yang lalu, ramai arkitek Uthmaniyyah telah mencuba untuk membina masjid yang lebih hebat daripada Masjid Aya Sofya namun ia masih tidak dapat menandinginya sehinggalah Mimar Sinan berjaya mencetuskan fenomena dalam setiap reka bentuk binaannya yang mengkagumkan melebihi keindahan Masjid Aya Sofya.
Mimar Sinan yang begitu berpengalaman dan keinginan yang tinggi dalam mereka bentuk bangunan, telah memulakan kariernya dengan membina sebuah masjid di Aleppo, Syria, iaitu Masjid Khusruwiyyah pada 1547.
Beliau juga telah membaiki struktur Masjid Abu Hanifah di Baghdad dan Masjid Jalal Al-Din Al-Rumi di Konya. Pelbagai projek yang diamanahkan kepadanya telah berjaya disempurnakan dengan penuh teliti. Maka, ini telah menjadikan Mimar Sinan begitu terkenal serta mahir dalam bidang kejuruteraan dan arkitek.
Pada 1543, Allah S.W.T telah menjemput putera Sultan Süleyman Al-Kanuni iaitu Putera Mehmed yang meninggal dunia akibat penyakit cacar (smallpox) ketika anakandanya berumur 21 tahun. Sultan Süleyman mengarahkan pembinaan masjid untuk putera kesayangannya itu sebagai harta sedekah buat puteranya di akhirat sana.
Jadi, ini adalah peluang pertama bagi Mimar Sinan untuk membina binaan dengan skala yang lebih besar berbanding biasa. Masjid ini siap dibina beserta binaan Külliye (Kompleks) selepas 4 tahun pembinaan dan diberi nama Şehzade Cami (Masjid Putera).
[Nota : Külliye bermaksud suatu kompleks yang berperanan memberi wakaf dan khidmat dari segi keagamaan dan keperluan umum di dalam masyarakat ]
Sultan Süleyman sangat berpuas hati dengan hasil kerja Sinan. Tetapi Sinan masih tidak berpuas hati dan mengakui bahawa beliau mampu membuat binaan yang lebih baik dari ini.
Mengapa Sinan Menghilangkan Diri
Selama 5 Tahun?
Tugas seterusnya, Sinan diamanahkan untuk membina sebuah masjid dan külliye untuk Sultan Süleyman sendiri sebagai amal jariah yang berterusan bagi pihak dirinya serta untuk kemudahan rakyat jelata.
Dengan menurut perintah, Masjid Süleymaniye dibina di atas kawasan bukit Istanbul dalam masa 8 tahun lamanya (1550-1557). Masjid ini terletak di belakang kawasan Universiti Istanbul (Berdekatan dengan tramvay di stesyen Beyazıt-Kapalıçarşı)
Menurut lagenda, selepas tamatnya membina tapak struktur asas dan sebelum membina struktur reka bentuk Masjid Süleymaniye yang seterusnya, Sinan telah menghilangkan diri selama 5 tahun. Akibat hilangnya arkitek kesayangan Sultan itu tanpa khabar berita, Sultan menjadi bimbang dan mencari di mana keberadaan Sinan sebenarnya.
Akhirnya, selepas 5 tahun, Sinan kembali ke Istanbul dan menerangkan kepada Sultan yang mana tapak pembinaan masjid ini adalah sangat besar daripada biasa dan ia memerlukan masa selama 5 tahun untuk menjadikan tapak struktur asas lebih padat dan mampat ke bawah tanah sebelum dibinanya binaan di atasnya untuk menjadikan ia betul-betul kukuh.
Selepas selesai pembinaannya pada 1557M, binaan Masjid Süleymaniye dianggap oleh Sultan Süleyman sebagai karya agung yang telah dibina oleh Mimar Sinan tetapi sebaliknya Sinan masih tidak berpuas hati malah menganggap dirinya mampu membina bangunan dengan struktur yang lebih baik dari ini.
Pelikkan?
Tetapi itulah sikap yang seharusnya
kita pupuk dalam diri masing-masing untuk
sentiasa menjadi lebih baik dari semalam.
Selepas kemangkatan Sultan Süleyman Al-Kanuni yang dicintai rakyat pada 1566M, Sinan meneruskan khidmatnya di bawah pemerintahan Sultan Selim II.
Sepertimana ayahandanya Sultan Süleyman, baginda juga turut mahu sebuah masjid yang dibina atas namanya sebagai satu sedekah yang berterusan walaupun beliau sudah kembali ke Rahmatullah. Lalu, dimintanya kepada Mimar Sinan yang ketika itu sudah berumur sekitar 70 tahun untuk membuatkan sebuah masjid yang indah bagi dirinya di wilayah Edirne yang mana sekitar 3-4 jam perjalanan menaiki bas dari Istanbul.
Kini, Sinan bercita-cita untuk mereka suatu binaan yang mampu mengatasi keindahan dan kemahiran seni bina Masjid Aya Sofya. Kesungguhan Sinan untuk menandingi Aya Sofya membuatkan beliau mengambil masa 8 tahun untuk melakar bentuk binaan masjid dengan penuh teliti dan 2 tahun untuk membina tapak permukaan binaan tersebut.
Akhirnya, Sinan berjaya mencapai salah satu sasarannya setelah memulakan pembinaannya pada 1568M dan selesai pembinaan pada 1574M dengan diberi nama Masjid Selimiye.
Menara Masjid Selimiye adalah antara yang tertinggi di zaman itu dengan mencapai 80 meter. Kubah utamanya yang berdiameter 31.5 meter dengan berbentuk oktagon (8 sisi) yang mana membenarkan ia dibina lebih tinggi berbanding Masjid Aya Sofya ketika itu. Dalam beberapa bentuk binaan tersebut, ia menyerupai reka bentuk Masjid Süleymaniye yang pernah beliau bina.
Bagi Mimar Sinan, beliau begitu berpuas hati dengan hasil kerjanya sehingga beliau sendiri mengiktiraf bahawa Masjid Selimiye yang berada di Edirne itu adalah karya agung yang berjaya dibinanya.
Mimar Sinan cemerlang dan berdisiplin dalam melaksanakan amanahnya sebagai Ketua Arkitek Uthmaniyyah selama 35 tahun dan telah berjaya menyiapkan kerja-kerjanya dengan pantas dan cekap sekali sepanjang pemerintahan Daulah Uthmaniyyah.
Adakah ini dinamakan sebagai ‘itqan‘?
Tidakkah kita patut mencontohi sikap yang sebegini?
Mimar Sinan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1588 ketika berumur 98 tahun dengan pelbagai legasi kejayaannya seperti membina :
- 80 buah masjid ,
- 57 buah madrasah,
- 22 buah makam,
- 7 buah Dar Al-Qurra’,
- 17 buah Imaret (Institusi Kebajikan & Kedermawanan),
- 3 buah Darüşşifa (Hospital),
- 7 buah saluran air
- 8 buah jambatan ,
- 35 buah istana,
- 20 buah rumah penginapan,
- 6 buah tangki air,
- 48 buah Hammam (Turkish Bath).
Bacaan Lanjut :
Bilinmeyen Osmanlı (Pof. Dr. Ahmed Akgündüz dan Prof. Dr. Said Öztürk),
www.lostislamichistory.com
Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah
Jom bersama Jejak Uthamaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim sambil berkongsi mengenai sejarah Islam khususnya Daulah Uthmaniyyah yang telah bertahan hampir 600 tahun di setiap tempat yang kita akan jelajahi.