Bagaimana Daulah Uthmaniyyah Terperangkap Masuk Ke Dalam Peperangan Dunia Pertama ?

Hari ini adalah 18 Mac 2017. Teringat saya tentang satu peristiwa besar dan bersejarah di Turki. Peristiwa peperangan di Canakkale yang menjadi salah satu babak di dalam pentas pertarungan antara kuasa-kuasa besar iaitu Peperangan Dunia Pertama (World War I). Saya akan ceritakan dahulu bagaimana Peperangan Dunia Pertama ini terjadi dahulu dan seterusnya fokus kepada terjebaknya Daulah Uthmaniyyah di dalam perangkap yang merugikan mereka sendiri.

 

Setelah tamatnya Revolusi  Perindustrian dan diselangi dengan kegagalan kuasa-kuasa besar Eropah untuk ‘berkongsi’ sumber bahan mentah dunia melalui penjajahan ke atas negara-negara lain, telah mengakibatkan konflik dan perbalahan sesama mereka yang semakin hari semakin teruk dan membimbangkan.
Tamak haloba yang sudah lama menjadi darah daging penguasa-penguasa besar Eropah ini telah menunjukkan tanda-tanda suatu malapetaka besar yang tidak dapat dielakkan akan terjadi.

 

Malapetaka besar ?

Sementara wilayah-wilayah Daulah Uthmaniyyah yang kaya dengan hasil bumi sering menjadi sasaran mereka. Namun situasi seperti ini adalah lebih baik kerajaan Uthmaniyyah tidak menyokong mana-mana pihak dan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan posisi neutral mereka daripada terlibat di dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan.

Ya, Daulah Uthmaniyyah tiada apa-apa kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam menuntut sebarang kepentingan di dalam konflik perebutan tanah jajahan dan rompakan hasil bumi di kalangan negara-negara perindustrian.

 

Peperangan Besar Mula Tercetus

(Sumber Gambar)

Tahun demi tahun perbalahan sesama mereka telah sampai ke kemuncaknya apabila terjadinya pembunuhan terancang oleh puak Serbia terhadap putera raja Austria, Archduke Franz Ferdinand bersama isterinya di Saray-Bosna (Sarajevo) dengan tujuan menuntut kawasan Bosnia yang dimiliki Austria. Pembunuhan ini telah mencetuskan peperangan dikalangan mereka.

Api yang sedang membara disemarakkan lagi dengan kehadiran tentera-tentera sokongan melalui Rusia kepada Serbia dan Jerman kepada Austria.

Peperangan ini  menjadi semakin rancak selepas kuasa-kuasa besar Eropah terbahagi kepada dua kumpulan untuk menentang antara satu sama lain iaitu dikalangan British, Perancis dan Rusia telah bersatu dan membentuk gabungan mereka dipanggil Tentera Bersekutu (The Allies) . Manakala Jerman, Austria-Hungary dan Itali telah bersatu dan dipanggil Kuasa Pusat (Central Powers).

 

Dengan itu, bermulalah episod yang tidak disangka-sangka di dalam sejarah dunia dengan berlakunya Perang Dunia I (World War I) pada 28 Jun 1914. Namun, Itali yang pada mulanya menyertai pasukan Kuasa Pusat telah menarik diri dari sekutunya dan mengisytiharkan untuk tidak berpihak di dalam konflik yang ngeri ini pada 1 Ogos 1914.

Ahli Majlis Tertinggi Ittihad dan Teraqqi
(Sumber Gambar)

Dalam masa yang sama Majlis Ittihad dan Teraqqi  (jawatankuasa yang bertanggungjawab membuat dan melaksanakan undang-undang tentera berpusat di Istanbul)  yang mempunyai tiga ketua ahli majlis tersebut  iaitu Enver, Talat dan Jemal mempunyai buah fikiran masing-masing terhadap situasi yang berlaku di Eropah.

 

Apa Posisi Yang Diambil Setelah
Bermulanya Peperangan Dunia I ?

Enver Pasha dan Talat Pasha lebih cenderung untuk menyokong Jerman di dalam pertempuran ini.

Sungguhpun begitu, berbeza pula pada pandangan Jemal Pasha yang lebih matang dan berpandangan jauh. Beliau ingin bersikap neutral untuk tidak memihak pada mana-mana kuasa besar kerana ia tidak membawa apa-apa keuntungan kepada Daulah Uthmaniyyah dan umat Islam.

Tetapi, tanpa diketahui dan tanpa berbincang dengan mana-mana ahli Majlis Tertinggi, Said Halim Pasha dan Enver Pasha telah membuat perjanjian sulit bersama kerajaan Jerman pada  2 Ogos 1914 sebaik sahaja selepas pengunduran yang dibuat oleh negara Itali.

Selepas bermulanya pergelutan antara kuasa-kuasa besar, British yang dahulunya  merupakan rakan dagangan Daulah Uthmaniyyah secara tiba-tiba telah menolak untuk menghantar dua buah kapal perang walaupun kerajaan Uthmaniyyah telah pun membayar penuh untuk membeli kapal-kapal perang tersebut.

Selat Dardanelles (Sumber Gambar)

Suatu hari, dilihat terdapat dua buah kapal perang milik Jerman sedang  dikejar oleh kapal-kapal perang British daripada laut Mediterranean sehingga memasuki selat Dardanelles, Turki.

Melalui perjanjian sulit yang telah dibuat oleh Envar Pasha dan Said Halim Pasha, pada 11 Ogos 1914 Envar Pasha telah mengakui bahawa kapal-kapal tersebut telah pun memasuki perairan Osmanlı (Uthmaniyyah) malah mengisytiharkan dua buah kapal tersebut telah pun dibeli oleh kerajaan Uthmaniyyah.

 

Mengapa Mereka Mengambil Keputusan Begitu ?

Mereka berbuat demikian dengan tujuan untuk menyelamatkan sekutu mereka, Jerman.

Dua buah kapal yang dahulunya bernama Göben dan Breslau telah pun bertukar nama serta merta dengan panggilan Yavuz dan Midilli. Untuk menyembunyikan diri, Laksamana Souchon dan anak-anak kapal Jerman yang lain dengan segera menukar uniform mereka kepada uniform tentera Uthmaniyyah.

Kita boleh lihat, nampak seperti kerajaan Jerman memang sengaja ingin menarik kerajaan Uthmaniyyah ke kancah pertempuran yang dahsyat ini untuk menyebelahi mereka.

Jika benar-benar Daulah Uhmaniyyah terperangkap dengan janji-janji manis kerajaan Jerman, maka mereka terpaksa berdepan dengan Tentera Bersekutu (The Allies) yang mana Rusia telah memusatkan ketenteraan mereka di Odessa (di pelabuhan Ukraine) dan British di Terusan Suez (Mesir).

 

Sultan Mehmed V Reshad (Sumber Gambar)

Pada 11 Oktober 1914, kedutaan Jerman telah menawarkan sejumlah 2 juta kurush  kepada kerajaan Uthmaniyyah untuk menyertai mereka di dalam Kuasa Pusat (Central Power) dan akhirnya Sultan Mehmed V Reshad telah menerima tawaran tersebut dan wang yang dijanjikan telah diterima pada 21 Oktober.

Tanpa tak disangka-sangka, 29 Oktober 1914, Laksamana Souchon telah menyerang dan menenggelamkan kapal-kapal perang Rusia dengan bedilan meriam di Laut Hitam (Black Sea) atas arahan Enver Pasha yang telah mengambil keputusan terburu-buru tanpa berbincang dengan para Menteri Uthmaniyyah apatah lagi Sultan.

Dialah antara orang yang bertanggungjawab meletakkan Daulah Uthmaniyyah ke kancah bahaya.

Melalui kejadian itu, kerajaan Rusia telah mengisytiharkan perang terhadap Daulah Uthmaniyyah pada 2 November 1914 dan akhirnya kerajaan Uthmaniyyah terpaksa berdepan dengan kuasa-kuasa besar Tentera Bersekutu yang lain.  Maka, sebagai khalifah kaum muslimin di seluruh dunia, Sultan Reshad telah menyeru kesemua kaum muslimin dengan seruan jihad menentang Tentera Bersekutu.

British dan Rusia cuba menyekat segala seruan jihad untuk menentang mereka di wilayah-wilayah yang sedang dijajah seperti British di India dan Mesir, manakala Rusia di Asia Tengah. Pada awalnya mereka berjaya membuat tekanan kepada Daulah Uthmaniyyah tetapi seruan jihad yang diseru oleh Khalifah Sultan Reshad telah berjaya menembusi hati-hati orang yang beriman untuk bangkit keluar menentang penjajah dan mempertahankan tanah kaum muslimin dari dirampas oleh Tentera Bersekutu.

 

Keterlibatan pasukan Daulah Uthmaniyyah
di dalam Perang Dunia I ini diibaratkan
nyawa di hujung tanduk.

 

Mereka telah hilang sifat dinamik yang dimiliki sebelum ini walaupun telah berusaha untuk terus kekal berjuang dengan sistem pentadbiran yang semakin lemah dan tenat semenjak 1826.

Sultan Abdul Hamid II (Sumber Gambar)

Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, baginda sedaya upaya mempertahankan wilayah Daulah Uthmaniyyah meskipun sistem pentadbiran yang diamalkan agak tempang kerana baginda dan beberapa orang kuatnya sahaja yang bertungkus lumus memperbaiki apa yang sudah rosak. Sultan Abdul Hamid II dan yang bersama dengannya harus dipuji oleh kerana kecemerlangan mereka di dalam mentadbir polisi luar kerajaan walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Usaha Sultan Abdul Hamid untuk menyelamatkan institusi khilafah telah disalah ertikan oleh ahli ketua Majlis Ittihad dan Teraqqi malah mereka mengheret Daulah Uthmaniyyah ke arah kehancuran.

 

Rusia Berjaya Menceroboh Masuk Timur Anatolia, Turki

 

Rusia telah menyusun serangan mereka pada November 1914 dan Daulah Uthmaniyyah berjaya menangkis serangan tersebut dan melakukan serangan balas pada 21 Disember. Walaupun begitu, Rusia sekali lagi mengatur strategi dengan melakukan serangan dengan sekala yang lebih besar  dan agresif sehingga askar-askar Rusia berjaya memasuki timur Anatolia.

Serangan bertubi-tubi dikenakan ke atas wilayah Daulah Uthmaniyyah sama ada yang di darat atau di laut. Ketiga-tiga sekutu Eropah ini bergabung tenaga dan banyak menumpukan kapal-kapal perang mereka untuk memasuki laluan Selat Dardanelles di Çanakkale.

Bedilan demi bedilan disasarkan kearah kubu pertahan Osmanli di Canakkale. Canakkale dikelilingi dengan bukit-bukau yang memberi kelebihan kepada pasukan Uthmaniyyah dan dilengkapi dengan meriam-meriam yang ampuh.

Akhirnya, dengan semangat jihad yang berkobar-kobar dikalangan tentera Osmanli, Tentera Bersekutu menerima nasib yang malang akibat bedilan-bedilan meriam yang disasarkan daripada kubu Canakkale pada 18 Mac 1915.

Selepas tidak berjaya melepasi Selat Dardanelles, Tentera Bersekutu menyerang melalui jalan darat di Gallipoli

Namun Tentera bersekutu masih tidak berputus asa dan menyusun strategi dengan melakukan serangan melalui darat di Gallipoli tetapi mereka tetap juga gagal dan terpaksa berundur. Amat sedih sekali, pertempuran yang dahsyat ini telah mengorbankan kira-kira 250,000 pejuang Uthmaniyyah dan 50,000 daripadanya adalah pegawai kerajaan Osmanli di Canakkale.

 

“Allah şehitlere rahmet eylesin ya Rab”

Semoga Allah merahmati para syuhada.

 

Antara sebab mengapa Tentera Bersekutu memberi tumpuan untuk menawan Selat Dardanelles adalah kerana :

  • Memudahkan mereka untuk menawan ibu negara Daulah Uthmaniyyah di Istanbul
  • Mampu melumpuhkan penguasaan kerajaan Jerman dalam meluaskan jajahannya di timur.
  • Penawananan Selat Dardanelles membolehkan British mendominasi  kawasan Mesopotamia dan memperkukuhkan kuasanya terhadap Mesir. Selain itu, sekutu mereka dengan mudah menyediakan dan menghantar bekalan senjata kepada Rusia melalui Laut Hitam.

 

Di akhir pertempuran, Tentera Bersekutu tidak mampu menembusi kubu terkuat Daulah Uthmaniyyah di wilayah Anatolia sehingga terpaksa berundur ke wilayah Iraq dengan harapan untuk mengumpul tenaga dan bergabung semula dengan pasukan Rusia di Kaukasus.

 

Hari ini, Canakkale sangat popular dengan slogan ;

Çanakkale Geçilmez”

(Canakkale tidak akan sekali-kali ditembusi)

Bacaan lanjut : Osmanlı Tarihi (Prof. Dr. Mehmed Maksudoğlu) & Ottoman History Misperception And Truths (Prof. Ahmed Akgündüz & Prof. Said Öztürk)

Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah

Jom bersama Jejak Uthamaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim sambil berkongsi mengenai sejarah Islam  khususnya Daulah Uthmaniyyah yang telah bertahan hampir 600 tahun di setiap tempat yang kita akan jelajahi.

Klik Gambar Ini

Leave a Comment

Your email address will not be published.

×

Salam!

Pilih konsultan kami di bawah ini untuk merangka bentuk percutian anda di Turki!

× Dapatkan Konsultasi Percuma Di Sini