Sekiranya anda ke Turki, Bursa adalah salah satu tempat yang anda perlu lawati selain Istanbul. Seperti Istanbul, Bursa kaya dengan sejarah tamadun dari Greek purba hinggalah ke Rom Byzantine dan menemui zaman kegemilanganya ketika pemerintahan kerajaan Uthmaniyah. Selepas Orhan Gazi (Sultan Uthmaniyyah kedua) membuka kota ini, beliau menjadikan Bursa sebagai ibukota pertama Uthmaniyyah sekaligus meletakkan Uthmaniyyah sebagai kuasa baru di wilayah Anatolia. Bursa yang dahulunya dikenali sebagai Prussa ketika zaman Byzantine berkembang menjadi sebuah pusat ketamadunan yang kaya dengan sejarah dan juga keindahan yang memukau.
Yesil Bursa atau Bursa Hijau
Bursa dikenali sebagai ‘Yesil Bursa’ atau Bursa hijau kerana Bandar ini dikelilingi oleh keindahan semulajadi yang menghijau seperti hutan dan taman yang ada. Selain itu, banyak buah-buahan yang tumbuh subur di situ. Antara yang terkenal ialah buah peach dan zaitun.
Didalam rekod arkeologi mencatatkan kawasan Bursa sudah didiami oleh manusia sejak tahun 5200 BC lagi. Kemudian dikuti oleh Greek Purba yg diperintah oleh Raja Prusias I dan menamakan kota itu sebagai Prussa atau Prusa. Selepas 128 tahun, Prusa menjadi wilayah Rom selepas rajanya Nicomedes IV menyerahkan wilayah itu kepada Rom. Pada tahun 1326, Prusa ditawan oleh Uthmaniyyah dan dikenali oleh masyarakat turki sebagai Bursa.
Tanah Bursa yang subur menjadikan ia tempat yang sesuai untuk bercucuk tanam. Bursa terkenal dengan sektor pertanian seperti buah zaitun dan juga peach. Kawasan pergunungan Uludag juga membekalkan sumber air mineral air semulajadi yang kebanyakkannya digunakan untuk penduduk di Turki. Air mineral semulajadi dari gunung Uludag juga dieksport ke luar Negara kerana kualiti yang ada pada air tersebut.
Bermulanya sebuah tamadun
Sebelum kerajaan Uthmaniyyah menakluki Bursa dan menjadikan Bursa ibu Negara mereka, Osman Gazi (pengasas kerajaan Uthmaniyyah) dan suku kaum Turkic dibawah pimpinanya hidup secara nomad. Ketika itu Osman merupakan salah seorang beylik (pembesar) dikawasanya dibawah kerajaan Seljuk yang sedang berpecah. Dengan keadaan kerajaan Seljuk yang tidak stabil, Osman mengisytiharkan kerajaanya berpisah dari pemerintah Seljuk.
Kawasan pemerintahan Osman Gazi bersempadan dengan wilayah Byzantine di barat, sekaligus menjadikan konflik dengan Byzantine tidak dapat dielakkan. Pada 1302, Osman I berjaya mengalahkan Byzantine di peperangan Bapheus. Kemenangan didalam peperangan ini amat signifikan kerana ia membuka jalan untuk meletakkan Osman dan pengikutnya sebagai pemain utama didalam konflik di Anatolia. Dengan penaklukan Bursa pada 1326, kerajaan-kerajaan yang lain mula mengambil perhatian dengan kehadiran sebuah kerajaan kecil baru dipimipin Osman yang mencabar dan mengalahkan kuasa besar.
Corak pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah banyak terbentuk di Bursa. Seni bina awal Uthmaniyyah seperti masjid, kuliyyah (madrasah), hamam dan imarethane (dapur) juga boleh dilihat di kota Bursa. Bangunan-bangunan bersejarah seperti Ulu Camii, Yesil Kulliyesi, Tophane, Koza Han dan banyak lagi merupakan tempat-tempat yang wajib dilawati sekiranya anda ke Bursa.
Tempat menarik untuk dilawati
Di Bursa, banyak aktiviti dan tempat yang anda boleh lawati. Sekiranya anda minat sejarah, anda boleh ke Ulu camii, Tophane atau Yesil Kulliyesi. Sekiranya anda sukakan aktiviti lasak pada musim sejuk dan ingin menikmati pemandangan cantik, anda boleh ke Uludag untuk bermain ski atau snowboard sambil menikmati keindahan Taman Negara Uludag. Berikut adalah kawasan tarikan untuk dilawati:
– Uludag: Merupakan gunung tertinggi di Bursa. Uludag juga berstatus taman Negara kerana kaya dengan sumber flora dan fauna. Pada musim sejuk, aktiviti seperti ski, snowboarding dan bermain salji merupakan tarikan utama. Pada musim panas pulak, pengunjung boleh melakukan aktiviti seperti trekking, menaiki kuda dan lain-lain. Uludag menjanjikan pemandangan yang memukau terutama pada musim sejuk kerana dilitupi oleh salji keputihan. Sekiranya anda bertuah, anda boleh melihat hidupan liar seperti rusa, musang, serigala atau beruang yang hidup liar dikawasan Uludag.
– Ulu camii: Ulu camii atau The Great Mosque merupakan masjid terbesar di Bursa. Masjid ini dibina oleh Sultan Bayezid I selepas beliau berjanji untuk membina 20 buah masjid sekiranya beliau memenangi peperangan di Balkan. Selepas menang di peperangan Nicopolis, beliau membina sebuah masjid besar dengan 20 buah kubah atas nasihat ulama ketika itu berbanding 20 buah masjid. Uniknya Ulu cami ini ialah masjid ini menggabungakan seni bina Seljuk dan awal Uthmaniyyah. Di dalam masjid ini juga terdapat beratus seni khat yang pelbagai dan mempunyai kisah unik yang tersendiri. Masjid ini dianggap oleh sebahgian masyarakat Turki sebagai masjid kelima tersuci selepas Masjidil haram, masjidil nabawi, masjidil aqsa dan juga masjid Umawi di Damsyiq.
– Tophane: Sekiranya anda ingin menikmati pemandangan bandar Bursa, anda boleh ke Tophane. Tophane terletak dipinggir bukit dan anda boleh melihat keseluruhan bandar Bursa dari situ. Di Tophane juga terletak kubur pengasas kerajaan Uthmaniyyah Osman Gazi dan pemerintah kedua kerajaan Uthmaniyyah Orhan Gazi (anak Osman). Tophane dibina dibekas tembok kota Prussa. Kesan peninggalan tembok ini masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini
– Green Complex (Yesil Kulliyesi): Di kompleks ini terletak beberapa bangunan yang siginfikan. Pertama ialah Yesil Cami atau Masjid Hijau dan juga turbe atau makam. Selain dari masjid dan makam, terdapat juga bangunan lain seperti madrasah, dapur dan juga hamam (tempat mandi awam). Seni bina yang berwarna hijau-turquoise menjadikan tempat ini dikenali sebagai Green Complex. Dibina ketika era Sultan Mehmed I, selepas era perang saudara yang hampir menghancurkan kerajaan Uthmaniyyah. Pembinaan kompleks ini dilakukan sebagai tanda kebangkitan Uthmaniyyah daripada perang saudara yang berlaku hampir 11 tahun lamanya. Masjid dan makam yang dibina agak unik dan senibina ini tidak terdapat pada seni bina lain pada bangunan Uthmaniyyah.
– Muzium Panorama 1326 : Muzium panorama ini seperti muzium Panorama 1453 di Istanbul. Muzium ini menceritakan mengenai pembukaan kota Bursa pada 1326. Banyak info dan gambaran mengenai sejarah awal Bursa diceritakan disini. Anda juga akan terpukau dengan lukisan pelukis mengenai gambaran pembukaan kota Bursa.
– Cumalikizk : Cumalikizik merupakan perkampungan lama yang berusia 500-600 tahun dan merupakan perkampunagn tertua di Bursa. Seni bina rumah lama asal Uthmaniyyah terdapat disini. Terdapat 270 buah rumah yang ada dan 60 daripadanya masih didiami oleh penduduk tempatan. Disitu, anda boleh membeli barangan produk tempatan seperti madu, jem dan juga buah-buah hutan. Anda juga boleh menikmati makanan kampung seperti gozleme dan juga sarapan Turki yang kaya dengan pelbagai jenis keju.
Bursa: bandar unik yang tidak hilang ditelan zaman
Banyak yang boleh diceritakan mengenai bandar Bursa ini. Dari sudut sejarah, kecantikan pemandangan dan juga budi baik orangnya, Bursa mempunyai tarikan tersendiri. Kebanyakkan tempat bersejarah di Bursa telah diiktraf oleh UNESCO sebagai ‘world heritage site’. Jika anda datang ke Bursa pasti akan banyak memori yang anda akan bawa pulang. Sekiranya anda merancang ke sana dan tidak tahu bagaimana, anda boleh lah hubungi https://jejakuthmaniyyah.com/ . Mereka berpengalaman mengendalikan percutian di Turki, khususnya di Bursa. Cuti anda pasti menyeronokkan. 🙂