Tentera Janissari Uthmaniyyah, Pelindung Atau Pengkhianat Negara?

Janissari di dalam bahasa Arab disebut sebagai Inkisyaariah dan di dalam bahasa Turki sebagai Yeniçeri yang bermaksud “Pasukan Baru” atau “Tentera Baru“. Pasukan ini adalah sebuah pasukan khas elit terhebat di dalam unit tentera Kerajaan Islam Uthmaniyyah.


Mereka merupakan infantri tentera yang terbentuk daripada satu ujian khas tentera Uthmaniyyah. Kualiti mereka membolehkan mereka memiliki lencana kemuliaan, keistimewaan pangkat, pengaruh juga sentiasa diberikan misi-misi khas oleh kerajaan.

Secara tepatnyanya disebut; Yeniçeri (Türkçe : Yeni Asker). Kerana jika ditulis di dalam bahasa Turki Uthmaniyyah (Osmanlıca) adalah dengan ejaan ‘يكيچرى .tetapi ia dibaca oleh kalangan ahli ilmu (yang ratanya daripada Al-Azhar, Mesir ketika itu) dengan sebutan ‘انكشاري‘ (Inkisyaariah) kerana dikatakan mereka tidak mengetahui bahawa huruf  ‘ك ‘ adalah huruf yang tidak berbunyi di dalam bahasa Turki asal (yumaşak ‘G’).


Pasukan ini dibentuk bukan pada zaman pemerintahan Abbasiyyah dan bukan juga di zaman kerajaan Seljuk, tetapi di waktu era kesultanan Orhan Bay iaitu putera kepada Osman Gazi, Sultan pertama bagi Daulah Uthmaniyyah.

Janissari ditubuhkan atas beberapa sebab, antaranya penyalahgunaan kuasa dikalangan tentera Orhan dan wujudnya ketidaksetiaan kepada Sultan.


Ahli sejarawan sepakat mengatakan pasukan ini secara rasminya dijalankan pada zaman pemerintahan anaknya Orhan iaitu Sultan Murad I pada tahun 1360 dan baginda telah memperbaharui sistem dalam pemilihan pasukan Janissari.

Pembentukan Pasukan Janissari

Perlu kita ketahui bahawa ia ditubuhkan daripada nukleus organisasi ketenteraan Daulah Uthmaniyyah yang bermaksud ia terbuka kepada semua, sama ada Muslim atau non-Muslim dan kebanyakan tentera dan panglima perang dilahirkan dari pasukan Janissari adalah melalui sistem PENÇİK OĞLANLARI mulai pada zaman Sultan Murad I hingga Fatih Sultan Mehmet II (maksudnya yang benar-benar berkualiti melalui sistem ketenteraan ini).

Menurut ahli sejarawan Turki seperti Prof Ahmad Akgündüz dan Prof Said Öztürk di dalam buku mereka ‘Ottoman History Misperception & Truth‘, pemilihan pasukan Janissari terbahagi kepada dua bahagian :

A. Sistem Pençik Oğlanı 

B. Sistem Devşirme

1. Sistem Pençik Oğlanı adalah sistem pertama yang diperkenalkan dan mula dipratikkan mulai era Sultan Murad I sehingga Fatih Sultan Mehemmed II.

  • Menurut sejarawan Turki iaitu Ahmed Akgündüz dan Said Öztürk, mereka yang berjaya menempatkan diri dalam pasukan khas ini adalah kebanyakannya dari pemuda-pemuda tahanan perang iaitu di setiap pembukaan kota dan wilayah.
  • Mereka dipilih dikalangan tahanan perang yang berstatus hamba. Selepas pemilihan berlaku, mereka akan dihantar dan tinggal bersama keluarga Muslim untuk ditarbiyah di sana. Walaupun mereka berstatus hamba tetapi dengan nilai ajaran Islam supaya hormat menghormati walau apa jua status, mereka tidak langsung dilayan seperti seorang hamba.
  • Kemudian, mereka akan dihantar untuk menjalani latihan ketenteraan Daulah Uthmaniyyah selepas mereka telah kembali dan menerima Islam sebagai cara hidup mereka. Jika tidak, mereka tiada peluang untuk meneruskan operasi ini dan akan kembali menjadi hamba tahanan perang atau menjadi ahlu zimmah ataupun menebus diri dari menjadi tawanan perang.Sesungguhnya ini adalah salah satu jalan dakwah Daulah Uthmaniyyah bagi tahanan perang.

Nota :  Ahlu zimmah adalah orang non-muslim yang tinggal di dalam negara muslim dalam keadaan aman dengan perjanjian tertentu.


2. Sistem Devrişme ini dibentuk semasa pemerintahan Sultan Yıldrım Beyazid dan ia diperkenalkan atas beberapa sebab.

  • Antara sebab utamanya ialah selepas pembukaan kota semakin meluas, umat Islam dan masyarakat non-muslim juga makin bertambah maka kerajaan Uthmaniyyah memerlukan lebih ramai lagi parajurit-parajurit yang berkualiti seperti yang pernah melalui sistem yang pertama tadi (Sistem Pençik Oğlanı). Disebabkan itu, Daulah Uthmaniyyah membuka ruang untuk non-muslim untuk turut serta dalam operasi ketenteraan tersebut.
  • Sesetengah ahli sejarawan berpendapat, dikalangan masyarakat non-muslim ini berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak lelaki mereka ke dalam operasi khas ini kerana ingin mengelakkan diri daripada membayar ‘jizyah‘ (cukai yang dikenakan kepada non muslim yang bernaung di bawah pemerintahan kerajaan Islam)  dan mendapat beberapa hak keistimewaan jika anak mereka berjaya menyertai pasukan parajurit Janissari serta mendapat tempat dan pangkat di dalam sistem kerajaan Uthmaniyyah.
  • Antara tentera yang lahir dari sitem ini adalah arkitek terulung daulah Uthmaniyyah iaitu Mimar Sinan.

 

Pastinya pemilihan ini dilakukan dengan penuh teliti dan melalui pelbagai tapisan dan saringan.

Antaranya adalah Unit Ketenteraan Daulah Uthmaniyyah hanya mengambil pemuda-pemuda yang beragama Kristian yang berumur sekitar 14-18 tahun untuk sistem pemilihan ini (Jews Not Accepted under any condititiondan mereka akan dihantar kepada keluarga Turki Muslim yang terpilih untuk ditarbiyyah secara rohani dan jasmani tetapi tiada paksaan untuk menganuti cara hidup Islam jika mereka menolaknya.

Peserta-peserta yang telah kembali kepada Islam melalui sistem ini akan dikira berjaya ke peringkat latihan ketenteraan seterusnya

Selepas diberi pendidikan dan latihan ketenteraan mereka akan dihantar untuk menjadi sama ada askar di medan peperangan atau ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di Sekolah Istana atau menjadi askar Istana dan lain-lain lagi. 


Selepas itu, mereka akan dibahagikan kepada tiga kumpulan : 

  1. Pasukan khas Istana
  2. Pasukan yang mengisi kekosongan jawatan awam kerajaan
  3. Pasukan di bahagian infantri (tentera darat) tentera Uthmaniyyah yang mana bilangan mereka merupakan bilangan terbesar di dalam unit Janissari.

Seperti yang tercatat dalam sejarah, semua pasukan Janissari adalah seorang Muslim.

 

Mengapa Kaum Yahudi Tidak Diterima Di Dalam Ketenteraan Janissari?

Jika kita menyingkap kembali Sirah Nabawiyyah dan juga kisah Para Anbiya’, kaum yahudi walaupun telah dimuliakan oleh Allah dari kaum-kaum yang lain di zaman terdahulu tetapi mereka telah memungkiri janji-janji mereka kepada Allah dan telah mengkhianati para Rasul yang telah diutuskan kepada mereka.

Sehinggakan setelah Nabi S.A.W. (berselawatlah kita) berhijrah ke kota Madinah, kaum yahudi jugalah yang menjadi musuh dalam selimut dan telah membelot masyarakat muslim Madinah ketika tercetusnya peperangan antara kaum muslimin di Madinah dan kaum Quraish.

Begitulah sifat kaum yahudi kebanyakannya. Sehubungan itu, kerajaan Uthmaniyyah tidak mahu mengambil risiko dan ingin mengambil pengajaran dari sejarah yang lepas agar ia tidak terpalit kembali kepada pemerintahan Daulah Uthmaniyyah.

 

Unit khas ini, sentiasa dikaitkan dengan Tarekat Sufi Bektaşi (Bektashi) kerana pada awal penubuhannya, Sultan telah melantik seorang tokoh sufi ketika itu yang dikenali sebagai seorang yang warak dan berpengaruh dalam mendidik masyarakat.

Beliau adalah Mohammed Bektash, daripada bangsa Kharasan dan menetap di kampung yang dinamakan dengan namanya sendiri hari ini, 180 km dari ibu negara Turki di Ankara. Disebabkan itu, Tareqat Bektashi sangat kuat pengaruhnya di dalam unit Janissari.

Antara faktornya, Sultan Orhan I telah meminta Syeikh Bektashi untuk mendidik tentera unit Janissari dengan sebaiknya.

Sejak daripada itu, tentera Janassari banyak menjadikan Syeikh Baktashih sebagai rujukan dan contoh dalam kehidupan seharian selepas Rasulullah S.A.W. (berselawatlah kita).

 

Pada asalnya, tentera Janissari tidak keluar berperang bersama parajurit biasa kecuali akan disertai oleh Sultan Daulah Uthmaniyyah. Kehandalan mereka digunakan untuk melindungi Sultan dalam medan pertempuran.

 

 

Sultan Süleyman Al-Kanuni

 

Adat ini, akhirnya dimansuhkan oleh Sultan Suleyman Al-Qanuni. Mereka telah dibenarkan berperang di medan bersama tentera yang lain di bawah pimpinan panglima mereka.

 

Baginda telah melakukan penambahbaikan dari segi sistem ketenteraan. Antara kebaikannya ialah menjadikan para sultan selepas baginda tidak lagi disyaratkan untuk turun bersama di medan pertempuran dan cukup hanya sekadar menghantar tentera.


Maka sultan dapat menguruskan hal-ehwal negara yang semakin luas wilayahnya.

 

 

Yeniçeri Ağası


Yeniçeri Ağası (Janissari Aghase) adalah gelaran bagi ketua unit Janissari. Jawatan ini amat popular dan disanjung oleh masyarakat Daulah Uthmaniyyah. Jawatan ini mempunyai dua tugas utama antaranya menjadi Ketua Polis Islambol dalam masa sama menjadi Ketua Urus Tentera Darat Daulah Uthmainyyah dan merupakan salah seorang Ahli Majlis tertinggi negara. 

 

Kehebatan pasukan Janissari telah diakui oleh pelbagai empayar ketika itu yang kebanyakan empayar di Eropah dan Asia kerana kepakaran mereka di dalam medan peperangan serta operasi pembunuhan. Mereka dilengkapi dengan pelbagai senjata tercanggih dan kelengkapan lengkap seorang tentera.

 

Mereka sentiasa diletakkan di dalam barisan hadapan pasukan tentera dalam kebanyakan pertempuran.

 

Mereka dikenali dengan semangat jihad yang tinggi,
pantas beraksi di medan pertempuran lalu menggerunkan pasukan lawan. 


Seorang Orientalis German, Brockelmann berkata ;

“Mereka adalah sekuat-kuat tentera Uthmaniyyah,
dan tiang seri kerajaan Uthmaniyyah..”

 

Manakala seorang Orientalis Britain, Grant berkata ;

“Janissari adalah infranti tentera namun lebih penting/kuat berbanding
tentera berkuda mereka dan masa depan kerajaan Uthmaniyyah
banyak bergantung kepada kekuatan unit Janissari ini..”


Disebabkan jasa besar Janissari dalam menjaga keamanan negara, mereka telah diberikan pangkat yang tinggi dalam carta organisasi negara. 

Mereka menjadi semakin berkembang dan berpengaruh kerana mampu menjaga kestabilan dan keamanan negara dengan jayanya serta menghindar daripada segala fitnah atau kekacuan dari dalam mahupun luar.

 

Menuju Kehancuran & Kegelapan

Selepas beberapa zaman pemerintahan, unit ini kemudiannya diberi kuasa berpolitik dan sistem pemilihan untuk pasukan elit ini semakin longgar malah posisi Janissari mula diberikan pada orang yang tidak layak memegang jawatan tersebut. 

Bermulalah korupsi yang tidak diingini di dalam sistem ketenteraan Uthmaniyyah.

Disebabkan jawatan Janissari ini dipandang tinggi dan mempunyai keistimewaan tertentu, sistem pemilihannya dikomersialkan dan dijadikan jual beli dengan harga yang mahal.

Akhirnya ini membuatkan mereka mula campur tangan urusan pemerintahan Daulah Uthmaniyyah.

 

Setiap Sultan yang menaiki takhta akan bertahan lama jika mengikut apa yang dikehendaki oleh pasukan Janissari sehingga mereka diberi jawatan yang istimewa di sebalik tabir pemerintahan.

 

Maka segala arahan atau keputusan Sultan haruslah bertepatan dengan kehendak unit Janissari bagi mengelakkan pelbagai krisis istana yang boleh menyebabkan merebak teruk menjadi krisis pemerintahan. 

Krisis yang tidak diingini  akhirnya menjadi kenyataan di zaman pemerintahan Sultan Uthman II ketika mana baginda digulingkan dan dibunuh pada tahun 1622.

Pada zaman Sultan Ibrahim II juga telah dibunuh oleh pasukan elit Janissari akibat cuba berkonfrantasi dengan mereka.

Pembunuhan tidak terhad kepada Sultan malah Perdana Menteri ada yang dibunuh oleh mereka iaitu Hasan Basha pada zaman pemerintahan Sultan Murad IV, 1632. 

 

Pembubaran Pasukan Elit Janissari

Sultan Mahmud II (1808 – 1839) dikenali sebagai pengislah (reformis)
di dalam menyusun kembali kebanyakan sistem pemerintahan Uthmaniyyah

Maka baginda bercadang melakukan rombakan dan pengubahsuaian di dalam pertahanan negara yang melibatkan semua sistem unit, penyediaan tentera, teknologi senjata termasuk struktur organisasi Janissari.

Namun ura-ura rombakan ini sampai ke pengetahuan Ketua Urus Janissari, lalu ditentang keras oleh beliau dengan pelbagai ugutan.

Melihat kepada kejayaan berturut-turut Panglima Muhammad Ali di dalam medan pertempuran yang menggunakan sistem baharu, maka Sultan mula merancang untuk melakukan transformasi pertahanan dengan lebih agresif.

Proses transformasi tetap dijalankan walaupun memakan masa bertahun-tahun. Sultan telah mengarahkan Perdana Menterinya ketika itu, Sadr A’zam Basha, bagi merealisasikan pembaharuan tersebut.

Pasukan Janissari dipaksa mengikut sistem ketenteraan tersebut sedikit demi sedikit, sehinggalah mereka memulakan pemberontakan secara meluas dan akibatnya nyawa Perdana Menteri mereka juga melayang dibunuh oleh mereka.

Pemberontakan mereka masih berterusan walaupun pasukan elit ini telahpun dibubarkan. 

Perkara ini berlarutan selama 18 tahun sehingga memaksa Sultan Mahmud II mengambil tindakan mengalah dan mengatur gerak semula supaya perubahan berlaku tanpa melibatkan pertempuran yang lebih besar.

 

Kemudian, pada 19 Syawal 1241 Hijrah  bersamaan 27 Mei / May 1826 Sultan Mahmud II mengadakan pertemuan Majlis Negara Dar al-Islam, yang mana pertemuan ini telah dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi tentera, termasuk pegawai-pegawai kanan Janissari, para ulama dan tokoh-tokoh berpengaruh masyarakat untuk membincangkan keperluan dan memperkenalkan sistem ketenteraan moden dalam pertahanan Daulah Turki Uthmaniyyah.

Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menerima sistem dan pembaharuan ini antaranya mengembalikan sistem Janissari yang tergantung akibat pemberontakan mereka di era Perdana Menteri Sadr Azam Bendaruqi.

Lalu Şeyhülislam (Syaikh al-Islam) ketika itu mengeluarkan fatwa bahawa wajib mengikut pelaksanaan pindaan baru ini dan hukuman akan dikenakan bagi setiap orang yang ingin membantah.

Nota : Şeyhülislam adalah pangkat yang diberikan kepada pakar dalam Badan Kehakiman dan Pendidikan Tertinggi di dalam pemerintahan Daulah Uthmaniyyah. Beliau juga adalah setaraf dengan Sadrazam (Perdana Menteri) di dalam hierarki Uthmaniyyah.

 

Tidak lama kemudian sekali lagi pemberontakan dilancarkan terhadap Sultan Mahmud II di Istanbul pada 14 & 15 Jun 1826. Pemberontakan dua hari ini diakhiri dengan tragedi hitam dalam sejarah pasukan elit Janissari, iaitu hukuman bunuh beramai-ramai terhadap  unit khas ini.

Pemberontakan Janissari yang berlaku pada ketika itu ditentang oleh kebanyakan tentera dan rakyat. malah telah memaksa ‘Sipahi ‘ (unit berkuda Uthmaniyyah) yang taat setia kepada Sultan Mahmud II untuk bertempur dengan mereka hingga menyebabkan pasukan Janissari berundur ke berek (yang dijadikan kubu) mereka.

 

Pada pagi 9 ZulQaedah 1241Hijrah bersamaan dengan 15 Jun 1826, Sultan Mahmud II bersama bala tenteranya yang setia bertindak mengepung kubu pasukan Janissari dengan segala kelengkapan meriam dan pistol.

Lalu membedilnya dari segenap arah. Menyebabkan kekuatan Janassari lumpuh untuk meneruskan pemberontakan dan telah meragut sehingga 6000 nyawa dalam satu hari.

Maka ditangkapnya saki baki mereka untuk dijatuhkan hukuman mati dan sebahagiannya dibebaskan bagi yang telah menyerah diri.

Sultan Mahmud II kemudiannya mengeluarkan ketetapan bahawa unit Janissari dibubarkan seluruh organisasinya dan dihentikan operasinya di seluruh negara untuk selamanya.

Maka berakhirlah sebuah sejarah bagi unit pertahanan yang digeruni kerana keberanian dan ketangkasannya menghunuskan pedang di leher musuh Islam.

Namun tamat dibunuh di dalam negara sendiri kerana dipelopori oleh insan yang tidak amanah dan tamak.

 

Rujukan : 

  • Bilinmeyen Osmanlı, Prof Ahmed Akgündüz & Prof Said Öztürk.
  • Osmanlı Tarihi, Prof Mehmed Maksudoğlu

 

Buraidah Al-Aslami & Shafiq Shafie

Jom bersama Jejak Uthamaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim sambil berkongsi mengenai sejarah Islam  khususnya Daulah Uthmaniyyah yang telah bertahan hampir 600 tahun di setiap tempat yang kita akan jelajahi.

Klik Di Sini Atau Gambar Di Atas Untuk Info Lanjut

Leave a Comment

Your email address will not be published.

×

Salam!

Pilih konsultan kami di bawah ini untuk merangka bentuk percutian anda di Turki!

× Dapatkan Konsultasi Percuma Di Sini