Hari ini, kita lihat kuasa-kuasa besar di Eropah lebih maju dan terkehadapan daripada negara-negara yang dikatakan sebagai ‘Negara Islam’ baik dari segi sistem pengangkutan awam, pendidikan, penyelidikan, kebersihan dan macam-macam lagi.
Kadang-kadang kesempurnaan ajaran Islam itu, kita boleh lihat pelaksanaannya di negara bukan Islam dan sedihnya ia tidak berlaku di negara yang majoritinya adalah muslim.
Islam telah membawa pelbagai sistem yang sangat praktikal dan sempurna bagi umatnya antaranya adalah sistem wakaf yang mana ia adalah salah satu tulang belakang dalam pembangunan sosio-ekonomi umat Islam sewaktu ketika dahulu.
[Bacaan lanjut mengenai Institusi Wakaf : Suatu Perintah Atau Tradisi Di Zaman Uthmaniyyah? (Bahagian 1)]
Jika institusi wakaf ini dilaksanakan dengan telus, teratur dan dipelihara harta wakafnya dengan baik, pastinya ia mampu menyelesaikan masalah sosial masyarkat sekarang daripada gejala meminta-minta, scam dll. Malah kesejahteraan ekonomi di negara Islam akan mulai bercambah dan maju jika mengamalkannya secara kesuluruhan.
Memang benar,
teori tanpa praktikal
bagaikan jasad tanpa roh.
Kosong…
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, institusi wakaf dihidupkan kembali adalah untuk menyelesaikan dan memudahkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat ketika itu.
Telah tercatat di dalam buku-buku sejarah ketamadunan Uthmaniyyah yang mana selama lebih 6 abad kerajaan Daulah Uthmaniyyah sedaya upaya membenteras segala faktor yang menyumbangkan kepada kemiskinan dan kefakiran masyarakat yang hidup di bawah naungan mereka.
Antara kaedah yang mereka sentiasa terapkan di dalam masyarakat adalah menyuburkan kembali budaya suka memberi melalui sistem wakaf yang dimulakan oleh para Sultan dan bangsawan-bangsawan ketika itu.
Daripada itu, sistem wakaf yang cuba diterapkan sepanjang pemerintahan Uthmaniyyah adalah hampir merangkumi seluruh aspek demi kesejahteraan masyarakat di bawah naungan mereka seperti menyediakan,

Külliye iaitu bangunan kompleks yang terdiri daripada masjid sebagai pusat berkumpulnya orang ramai mengadakan pelbagai aktiviti dan di sekelilingnya dibina institusi pendidikan (medrese), hospital (darüşşifa), pasar (çarşı), kolam mandi air panas (hamam) dan banyak lagi.

Kervansaray iaitu rumah persinggahan bagi para musafir untuk berehat sebentar,

Çeşme atau air pancur untuk minuman orang ramai untuk menghilangkan dahaga,

Imaret/Imarethane yang mana selalunya dibina bersebelahan masjid atau sekitarnya. Ia berfungsi untuk menyediakan makanan kepada orang yang tiada keupayaan membeli makanan dan sebagainya. Aktiviti ini masih lagi berterusan sehingga sekarang.

Dan pelbagai lagi kebajikan yang telah dilaksanakan dan ia bukan sahaja untuk kepentingan manusia sahaja tetapi haiwan dan alam semulajadi turut diberikan dengan nilai yang sama seperti menyediakan rumah-rumah burung di tepi sudut binaan Uthmaniyyah dahulu seperti di masjid, perpustakaan dan pelbagai binaan yang lain.
Malah, penulis melihat masyarkat di Turki kini juga gemar menaburkan/memberikan makanan kepada burung/anjing/kucing yang terbiar di sesuatu tempat khas khususnya di musim sejuk yang mana kurangnya sumber makanan ketika itu.
Jadi, jangan kita sangka kebaikan sebesar zarah, Allah tidak pernah menghitungnya sebagai satu saham kita di akhirat.
: عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، أَنَّ رَجُلا جَاءَ إِلَى
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ
يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ ؟
وَأَيُّ الأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ؟
: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“…. أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاس”
Dari Ibnu Umar r.a. bahwa seorang lelaki mendatangi Rasulullah ﷺ dan berkata;
“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah dan amal apakah yang
paling dicintai Allah swt?”
Rasulullah ﷺ menjawab,
“Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia…”
Hadits ini dihasankan oleh Syeikh al Albani didalam kitab “at Targhib wa at Tarhib” (2623)
Orang pertama yang bertanggungjawab dalam mengembalikan sistem wakaf adalah Sultan Orhan iaitu sultan yang kedua bagi pemerintahan Uthmaniyyah (1326-1362).
Manakala, orang yang pertama yang dilantik sebagai pegawai urus tadbir dalam melaksanakan sistem wakaf (mütevelli) di Bursa adalah Sinan Pasha. Amanah ini telah disandang oleh Kadi selepas beliau meninggal dunia.

Sikap suka membantu dikalangan masyarakat dan pemerintah Daulah Uthmaniyyah juga dapat kita lihat melalui pembinaan tiang batu sedekah (sadaka taşı) di mana orang ramai boleh bersedekah dengan hanya meletakkan duit di atasnya atau di dalam tiang batu tersebut.
Apa yang menariknya adalah, selepas sahaja waktu solat isyak apabila orang ramai telah pulang berehat, mereka yang memerlukan wang tersebut boleh mengambilnya di atas tiang batu itu tanpa perlu meminta izin dan rasa malu kerana tiada siapa yang akan melihat mereka di waktu malam.
Mereka yang mengambilnya sama ada seorang musafir, fakir, miskin dll tidak akan dituduh dan didakwa sebagai pencuri kerana pemberian wang sedekah itu adalah untuk mereka yang memerlukan bukan untuk disimpan sahaja di tabung-tabung masjid atau berbangga dengan banyaknya kutipan sedekah yang diterima.
Tiang batu sedekah (sadaka taşı) itu masih lagi wujud dan dipelihara sehingga kini dan antaranya berada di Doğanjılar, Üsküdar dan sebahagiannya dipamerkan di dalam muzium di Iznik.
Hal ini menunujukkan masyarakat muslim adalah masyarakat yang penuh bertamadun dan muslim itu tidak akan digelar sebagai seorang muslim sehinggalah dia bersifat sebagai seorang manusia yang ‘tulen’.
Malah tidak beriman seseorang muslim itu jika dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.
Segala apa kebaikan yang mereka telah lakukan yang masih tidak melanggar syarak, patut kita contohi dan teladani.
Apa yang baik dijadikan teladan,
apa yang buruk dijadikan sempadan…
عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَس بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ،
خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :
“لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ”
[رواه البخاري ومسلم]
Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah ﷺ, dari Rasulullah ﷺ, baginda bersabda,
“Tidak beriman seseorang di antara kamu sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi, Bagaimana Kita Mahu Memupuk Budaya Memberi Ini Dalam Masyarakat Kita ?
Walaupun negara kita meletakkan sasaran wawasan 2020, masyarakat kita sekarang masih lagi bersikap suka mengambil kesempatan dengan ‘mengambil sesuatu hak melebihi yang sepatutnya‘ dan akhirnya menyebabkan orang lain yang lebih memerlukan tidak dapat menggunakan/memanfaatkannya. Ini juga adalah suatu masalah yang besar untuk pembangunan modal insan kita sekarang.
Pada pendapat penulis, perkara sebegini kita boleh atasinya dengan berusaha memandaikan dan menyedarkan masyarakat sekeliling melalui pelbagai kempen tentang kepentingan & kebaikan sistem wakaf. Dengan kata lain adalah menuntut ilmu, menyebarkannya dan amalkannya. Kita boleh lakukannya secara bertahap dan juga konsisten iaitu, mulainya dengan diri kita sendiri.
Konsep wakaf yang cuba diterapkan di dalam setiap masyarakat muslim adalah untuk memastikan keadaan sosio-ekonomi masyarakat kita dalam keadaan stabil dan sentiasa bersatu padu.
Yang kaya,
bantu yang miskin.
Dan juga sebaliknya.
Masyarakat tidak akan dapat berfungsi dengan baik tanpa ada sifat bantu-membantu, tolong menolong dalam perkara kebaikan.
Jika kita tak mampu untuk memperbetulkan & mengajak orang lain melakukan semua ini, jom kita mulakan dari diri kita sendiri dahulu.
Bak kata Imam Ghazali,
“Tegakkan Islam di dalam diri kamu,
maka akan tertegaklah Islam di muka bumi”
Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah
Jom bersama Jejak Uthamaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim sambil berkongsi mengenai sejarah Islam khususnya Daulah Uthmaniyyah yang telah bertahan hampir 600 tahun di setiap tempat yang kita akan jelajahi.
