Sultan Yavuz Selim : Khalifah Pertama Daulah Uthmaniyyah, Pelindung Dua Kota Suci

Sultan ke-9 Daulah Uthmaniyyah, Selim I

Cucu Muhammad Al-Fateh

        Apabila kita bercerita mengenai Kerajaan Uthmaniyyah, sering terlintas difikiran kita mengenai Sultan Muhammad Al-Fateh (Mehmed II) yang cukup terkenal dgn kejayaan beliau sebagai pembuka kota Constantinople. Namun tidak ramai yang kenal dengan Sultan Selim I, cucu kepada Muhammad Al-Fateh. Beliau merupakan salah seorang sultan yg pemerintahannya singkat tetapi berjaya meletakkan Kerajaan Uthmaniyyah dlm peta dunia islam, khsusunya di timur tengah. Beliau dilahirkan pada 1470 di Amasya ketika ayah beliau, Sultan Bayezid II merupakan gabenor disana dan merupakan anak bongsu daripada 8 orang adik beradik. Malangnya, 5 orang lelaki didalam keluarga beliau, mati ketika masih lagi bayi.

Yavuz (Si Bengis) Selim

        Ketika ayahanda beliau mewarisi takhta kesultanan daripada Sultan Muhammad Al-Fateh, Bayezid II memulakan polisi keamanan dan menghentikan ekspedisi ketenteraan meluaskan empayar oleh ayahnya. Hal ini dilakukan kerana ingin menstabilkan empayar yang terlalu cepat berkembang dan terlalu ramai golongan bangsa asing yang baru duduk dibawah pemerintahan Uthamnaiyyah, terutamanya di Balkan. Masalah seperti kewangan, sosial dan ekonomi berjaya diselesaikan sedikit demi sedikit.

     Selim ketika itu dilantik menjadi gabenor di Trabzon oleh ayahnya. Kerana kedudukan Trabzon yang bersempadan dengan Georgia di utara dan timur dengan Safawiyyah, ancaman musuh sentiasa ada. Selim terkenal dengan kebengisan dan ketegasan dalam pemerintahan. Beliau merupakan seorang pemimpin tentera yang disenangi oleh golongan tentera, khsusunya golongan elit Janissari. Sepanjang beliau memerintah Trabzon sepanjang 29 tahun, beliau telah berjaya mematahkan serangan daripada Georgia dan Safawiyyah disamping menawan dan meletakkan Kars, Artvin dan Erzurum dibawah jajahan Uthmaniyyah.

      Walaupun beliau berjaya meluaskan kawasan jajahan Uthmaniyyah, ayahanda beliau amatlah tidak gemar dengan tindakan anaknya yang bertentangan dengan polisi yang dijalankan pada masa itu. Ini meletakkanya sebagai bukan calon pilihan untuk menjadi sultan. Tambahan lagi, abang-abang beliau, Shahzade (putera) Ahmed dan Korkut lebih kehadapan dalam selok belok politik dan pentadbiran. Di Istanbul, kebanyakan golongan elit pentadbiran menyukai Ahmed dengan wataknya yang lebih tenang dan penyayang berbanding Selim yang dilihat terlalu bengis dan gelojoh.

Perebutan Takhta

       Di penghujung pemerintahan Bayezid II, Selim dan Ahmed menggunakan pengaruh masing-masing untuk merebut takhta dari ayahanda mereka. Selim meminta ayahnya untuk menambahkan lagi wilayah dibawah pemerintahanya, namun Bayezid menolak dan takut dengan memberi lagi wilayah jajahanya pada Selim akan meluaskan lagi pengaruhnya. Selim berkeras dan berarak ke Balkan bersama tenteranya. Menyedari hal ini, Bayezid juga mengumpulkan askarnya dan bergerak ke Balkan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.

       Sementara itu di Amsya, Ahmed yang merupakan gabenor disana meminta ayah mereka untuk membunuh Selim dan Korkut kerana merasakan mereka merupakan ancaman yang besar pada empayar tetapi Bayezid enggan. Selim dan tenteranya bertembung dengan Bayezid di  Cukuryakir sekitar Balkan. Walaupun kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperang, namun tiada apa yang berlaku dan Selim dan Bayezid bersetuju untuk menandatangani perjanjian yang menyatakan bahawa Bayezid tidak akan melantik mana-mana anak beliau sebagai pewaris takhta sehingga beliau mati dan membiarkan takhta terbuka untuk menjadi perebutan oleh anak-anak beliau.

     Sekembalinya di Istanbul, Kerajaan Safawiyyah Iran telah mengalahkan tentera Uthmaniyyah di beberapa tempat di semenanjung Anatolia. Bayezid yang ketika itu sudah uzur memanggil majlis diraja yang terdiri dari perdana menteri dan beberapa pembesar yang lain untuk membincangkan peletakkan jawatan beliau sebagai sultan dan memilih siapa yang sesuai untuk menggantikan beliau. Majlis diraja sebulat suara untuk memilih Ahmed sebagai sultan yang baru dan menjemput beliau ke Istanbul untuk mengambil takhta dari ayah beliau.

     Menyedari hal ini, Selim berasa marah kerana ayahnya telah mengkhianati perjanjian yang telah ditandatangani oleh mereka dengan menjemput Ahmed ke Istanbul sebagai sultan. Selim melancarkan serangan keatas ayahnya namun gagal dan beliau melarikan diri ke Crimea. Di Istanbul pulak, pihak Janissari tidak puas hati apabila mereka mendengar berita mengenai Ahmed akan menggantikan Bayezid. Mereka memberontak dan memaksa Bayezid untuk melantik Selim sebagai Sultan yang ke-9 kerajaan Uthmaniyyah. Bayezid akur dan memanggil Selim untuk mengambil takhta dari beliau.

    Setelah Selim berjaya menaiki takhta, beliau mengarahkan ayahanda beliau untuk bersara di Demotika, Greece. Namun Bayezid II mangkat ketika dalam perjalanan ke sana dan dikebumikan di Istanbul. Selim mengarahkan Ahmed dan Korkut dibunuh untuk mengelakkan sebarang percubaan rampasan kuasa oleh mereka dan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih dahsyat. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik, membunuh ahli keluarga lelaki kerana ianya merupakan tradisi untuk memastikan kestabilan empayar daripada ancaman yang boleh dielakkan.

Peta kerajaan Uthmaniyyah (warna hijau merupakan kawasan jajahan oleh Selim I)

Meluaskan empayar, mematahkan pengaruh syiah Safawiyyah

     Antara tindakan awal Selim ketika menjadi sultan ialah mematahkan pengaruh syiah Safawiyyah dari timur. Kerajaan syiah Safawi ketika itu baru sahaja muncul di tanah besar Iran. Shah Ismail, penguasa Safawi yg pertama ketika itu telah mengisytiharkan bahawa aliran syiah imam dua belas merupakan agama rasmi kerajaan Safawiyyah menggantikan sunni walaupun majoriti rakyat beliau adalah sunni. Hal ini kerana beliau ingin menjadikan tanah besar parsi dengan identinti unik tersendiri disamping untuk melawan pengaruh budaya turki-sunni dari asia tengah dan Uthmaniyyah.

    Pada tahun 1510, kerajaan Safawiyyah telah berjaya menawan seluruh Iran dan Azerbaijan, Selatan Dagestan, Mesopotamia, Armenia, Khorasan, timur Anatolia dan menjadikan Georgia sebagai negara dibawah perlindungan mereka. Menyedari akan bahaya ini, Selim melancarkan kempen keatas Safawiyyah pada 1514. Di Peperangan Chaldiran, tentera Uthmaniyyah dibawah pimpinan Selim I berjaya mengalahkan Safawiyyah yang dipimpin oleh Shah Ismail. Walaupun tentera Safawi lebih mudah bergerak dan cekap, kelebihan tentera uthmaniyyah terletak pada kelangkapan tentera yang jauh lebih moden disamping strategi yang berkesan. Hasil dari peperangan tersebut, Selim I berjaya menawan ibukota Safawiyyah, Tabriz dan juga merampas semula beberapa kota yang lain seperti Mesopotamia dan timur Anatolia. Shah Ismail menjadi paranoia dan hilang keyakinan akibat daripada peperangan ini. Dia dikatakan menjadi hilang minat untuk mentadbir dan memberikan urusan pentadbiran kepada orang kepercayaan beliau.

Gambaran peperangan Chaldiran, 1514

Menakluki Mamluk, mengukuhkan kedudukan sebagai khalifah

      Setelah selesai mematahkan serangan Safawiyyah di timur, Selim I mengalihkan perhatian dia terhadap kerajaan Mamluk di sebelah selatan Uthmaniyyah. Sokongan Mamluk terhadap kerajaan Safawiyyah menjadi antara sebab Sultan Selim I ingin menwan mereka disamping suku-suku kecil disempadan Uthmaniyyah dan Mamluk yang sentiasa menimbulkan kekacauan. Dengan meletakkan tanah jajahan Mamluk dibawah pengaruh Uthmaniyyah, masalah di sempadan dapat diatasi.  Tentera Uthmaniyyah berhadapan dengan tentera Mamluk buat pertama kali di Peperangan Marj Dabiq, berhampiran Aleppo.

       Selim I dan tenteranya berjaya mengalahkan tentera Mamluk dan seterusnya berarak ke Damsyiq, mengambil kota tersebut tanpa tentangan. Selim I seorang pemimpin yang bijak. Ketika mana dia dalam perjalanan untuk menawan satu ke satu kota yang lain, dia mewar-warkan polisi yang mesra rakyat dan populis seperti pengurangan cukai, mengekalkan tradisi tempatan walaupun pemerintah yang berbeza, menggalakkan tarikat sufi dan sunni islam dan corak pemerintahan yang lebih diketahui oleh rakyat Mamluk.

    Akhir sekali di Peperangan Ridaniyah yang berlaku di Mesir, Selim I berjaya mengalahkan Mamluk  secara total pada 1517 dan memasuki Kaherah sebagai penguasa terbaru. Ketika itu, gelaran khalifah masih lagi dipegang oleh Bani Abbasiyyah dan hanya menjadi simbol tanpa kuasa hidup dibawah naungan kerajaan Mamluk. Khalifah Al-Mutawakkil III yang merupakan khalifah pada masa itu  meletakkan jawatannya dan dengan rela hati memberi gelaran itu pada Selim I. Bila Sultan Selim I diumumkan sebagai khalifah yang terbaru, dunia islam menerima tanpa membantah kerana Kerajaan Uthmaniyyah  ketika itu merupakan kerjaan yang paling kuat dan berkuasa. Selim I menjadi sultan pertama yang memakai gelaran khalifah dari dinasti Bani Osman.

Sultan Selim I memasuki Mesir

Khadimul Haramain Al-Sharifain (Pelindung dua kota suci)

     Dengan jatuhnya Mamluk ke tangan Uthmaniyyah, seluruh tanah Levant, Syria, Palestine, Hejaz (Mekah dan Madinah) dan Mesir berada dibawah jajahan Uthmaniyyah. Bila Amir (pemerintah) Hejaz menyerahkan kunci Mekah kepada Selim I ketika pembukaan Mesir, dia menggelarkan Sultan Selim sebagai hakimul haramain al-sharifain (penguasa dua tanah suci). Selim I membantah dan menukarnya kepada Khadimul Haramain Al-Sharifain (hamba dua tanah suci) sebagai simbolik yang bahawasanya dia adalah hamba yang berkhidmat untuk menjaga dua kota suci tersebut. Dikisahkan ketika mana salah satu penyapu masjid dibawa masuk untuk tujuan pembersihan, Selim I mengangkat penyapu tersebut dan meletakkan diatas kepala umpama mahkota. Sejak dari peristiwa itu, sultan selepas beliau meletakkan bulu kecil di serban mahkota mereka sebagai refleksi peristiwa tersebut.

Masjid Yavuz Selim di Istanbul. Disini jasadnya disemadikan

Pemerintahan yang singkat tapi bermakna

     Selesainya misi menakluk Mamluk, Selim I pulang ke Istanbul dan bersiap untuk melakukan misi seterusnya. Sultan Selim  I mengisyaratkan Kepulauan Rhodes sebagai misi terbaru beliau. Malangnya beliau jatuh sakit dan mangkat pada tahun 1520, tahun kesembilan pemerintahan beliau. Sebahgian sejarawan berpendapat beliau meninggal dunia akibat penyakit sirpence yang mana beliau jangkit daripada duduk terlalu lama diatas kuda ketika menjalankan misi di Iran dan Mesir. Sebahgian sejarawan yang lain pula beranggapan beliau mati akibat kanser dan ada juga menyatakan bahawa beliau mati akibat wabak yang sedang melanda di tanah jajahan beliau.

     Walau apa pun sebab kematian beliau, sejarawan bersetuju bahawa sepanjang 9 tahun pemerintahannya, beliau berjaya menggandakan keluasan empayar Uthmaniyyah sebanyak 2 kali ganda dan meletakkan seluruh dunia islam dibawah pemerintahan Uthmaniyyah dengan mengambil gelaran khalifah daripada Bani Abbasiyah. Kesungguhan beliau memerintah empayar Uthmaniyyah dapat dilihat dengan kempen peperangan yang beliau sertai dan beliau dikenali sebagai sultan yang tidak pernah duduk di istana dan sentiasa berada diatas kuda.

    Pemerintahan 9 tahun Sultan Selim I ini amat bermakna kerana dia berjaya menyusun organisasi pentadbiran Uthmaniyyah untuk bersedia mencapai kegemilangan yang lebih hebat dibawah pemerintahan anaknya, Suleiman I (Al-Kanuni) yang menyaksikan kerajaan Uthmaniyyah menjadi kuasa besar dunia pada abad ke-16.

oleh: Birinci Abdulhalim

Leave a Comment

Your email address will not be published.

×

Salam!

Pilih konsultan kami di bawah ini untuk merangka bentuk percutian anda di Turki!

× Dapatkan Konsultasi Percuma Di Sini