Episod 3 : Bapa Pembangunan Uthmaniyyah, Orhan Gazi (Bahagian 1)

Perginya Osman Gazi ke rahmatullah, itu tidak mematahkan semangat kabilahnya kerana ia telah menanam dalam setiap minda dan azam kaumnya untuk terus mempertahankan institusi Khilafah Islamiyyah ini dengan membuka kembali kota-kota kepada nikmat iman dan Islam.

 

Kata-kata Orhan Gazi Semasa Hayat Bagında


Orhan Bey
 yang merupakan anak sulung kepada Osman Gazi melalui perkahwinannya bersama Mal Hatun (anak perempuan kepada Ömer Abdül Aziz Bey, Menteri Kerajaan Seljuk) telah mewarisi tampuk kepimpinan ayahandanya ketika berumur 36 tahun (1324-1360).

Orhan Bey merupakan Panglima Perang dalam pasukan tentera Uthmaniyyah kerana sifat kepimpinan dan kecekapannya dalam menyusun strategi peperangan ketika pemerintahan bapanya. Namun, tugas ini mula digantikan dengan Ala’uddin Bey selepas Orhan Bey naik menggantikan tugas ayahandanya.

Baginda juga merupakan generasi pertama Daulah Uthmaniyyah dalam menggunakan gelaran Sultan dan di zaman baginda jugalah Kerajaan Uthmaniyyah secara rasminya terbentuk.

Baginda tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sebagai ketua pemimpin malah sistem organisasi dan pentadbiran Daulah Uthmaniyyah menjadi lebih berkesan di bawah pemerintahannya kerana,

penasihat & pegawai pentadbiran di sekeliling baginda terdiri daripada
orang yang cemerlang dan terkenal di dalam bidang masing-masing.

Antaranya ialah dari golongan ‘İlmiye Sınıfı’ (Alim Ulama yang bertugas di bawah sistem pendidikan,fatwa dan kehakiman) seperti ;

  • Wazir Ala’uddin  PaşaMolla Tajuddin Kurdi dan Wazir Hayruddin Paşa.
  • Manakala Wazir Lala Şahin Paşa dan Çandarlı Kara Halil dilantik sebagai Kadi pertama di wilayah Bilecik dan seterusnya di Bursa.

Sultan Orhan bersama pasukannya yang berjaya membuka kota Bursa pada 6 April 1327, telah memberikan mandat kepada puteranya yang kedua, Murad I untuk menjadi Bey Sancağı (Pentadbir) di kota Bursa.

Pembukaan ini telah menjadikan kota Bursa sebagai ibu kota pertama bagi Daulah Uthmaniyyah secara rasminya ditambah lagi ia semakin memudahkan laluan menuju mereka ke kota Konstantinopel.

Bentuk Akçe Digunakan Untuk Sebarang Urusan Jual Beli Semasa Pemerıntahan Orhan Gazi

Maka Kadi Çandarlı Kara Halil dan  Wazir Ala’uddin telah mencadangkan untuk membuat Osmanlı Akçe (mencetak duit syiling) pertama  sebagai tanda kesultanan Uthmaniyyah di wilayah tersebut.

Sejurus itu, Orhan Bey meminta untuk dibinanya Darbhane (Kilang Mencetak Duit Syiling) di kota Bursa.

Pembukaan tidak terhenti setakat itu, pasukan Uthmaniyyah yang dipimpin oleh AkçakojaKaramürsel Gazi dan Abdurrahman Gazi telah meneruskan misi mereka untuk membuka kota dari pelbagai arah seperti Kandıra, kota İzmit, Aydos dan Samandıra. Mereka merancangnya dengan penuh teliti untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Kemaraan tentera Uthmaniyyah yang begitu pantas sehingga mendekati kawasan Selat Bosphorus dan pantai Laut Hitam (Black Sea)  telah membimbangkan Maharaja Andronicos III (1328-1341) dan mengakibatkan maharaja memutuskan untuk bertindak bagi menghalang kemaraan mereka dari menawan dan menceroboh kota-kota Kerajaan Rom di wilayah Eropah.

Tanpa membuang masa, Maharaja Andronicos III membawa bala tenteranya menyeberangi Selat Bosphorus untuk menyerang wilayah Uthmaniyyah di Pelecanon. Serangan yang dilakukan oleh Maharaja Rom itu tidak mampu bertahan lama dan berjaya dipatahkan oleh pasukan tentera terlatih Uthmaniyyah di sana.

Akhirnya mereka terpaksa berundur melarikan diri pada 1328 ke wilayah Eropah.

Kedudukan Kota Iznik Yang Agak Berdekatan Dengan Ibu Negara Daulah Uthmaniyyah, Bursa.

Susulan itu, Sultan Orhan merancang untuk membuka kota Iznik (dahulunya dipanggil Nicaea) yang merupakan salah satu kota suci kerajaan Byzantine dengan melakukan strategi pengepungan berperingkat.

Kota-kota Rom yang telah berjaya dibuka oleh Daulah Uthmaniyyah yang majoritinya beragama Krisitan seringkali menasihatkan pemimpin dan masyarakat Iznik untuk mengalah dan hidup aman dibawah naungan Daulah Uthmaniyyah tetapi mereka enggan dan ini memaksa Orhan Bey dan bala tenteranya untuk meneruskan peperangan ini.

Selang beberapa tahun, pada 1331 mereka menyerah juga kerana kekurangan sumber makanan semasa tempoh pengepungan dilakukan.

Akhirnya mereka sedar bahawa kedatangan tentera Uthmaniyyah bukanlah untuk menindas mereka apatah lagi merompak hasil tanah mereka tetapi untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya dan menolak sebarang penindasan,kasta dan kezaliman kepada kedamaian dan keadilan. 

Antara faktor inilah, wilayah Islam semakin cepat berkembang dan pesat di bawah pimpinan kerajaan Islam, Daulah Uthmaniyyah ketika itu.

Aya Sofya di Iznik yang dahulunya adalah gereja telah ditukar kepada masjid pada 1331.

Kini, Iznik dijadikan ibu negara Uthmaniyyah selepas kota Bursa.

Setelah itu, Sultan Orhan telah menukarkan Katedral Aya Sofya (gereja utama dalam sesuatu daerah di bawah jagaan Uskup)  di sana kepada sebuah masjid pada 1331.

Kemudian, menjadikan bihara di sana kepada sebuah Madrasah dan membina İmaret (Institusi Kebajikan & Kedermawanan).

Institusi-institusi yang dibangunkan ini adalah salah satu langkah  untuk membina kembali sebuah tamadun ISlam yang hampir musnah. Jadi baginda telah melantik Molla Davud Kayseri sebagai rektor di Madrasah tersebut dan al-Haj Hasan sebagai pengurus di İmaret.


Nota :

  1.  Seawal abad ke-14 masyarakat muslim telah mula membina pelbagai institusi untuk membantu dan mendidik masyarakat sama ada muslim atau non-muslim seperti Institusi Kebajikan & Kedermanan dan Madrasah.Manakala di wilayah Eropah masih lagi mengamalkan sistem perhambaan dan pemerintahan yang zalim di antara 395-1453M (Middle Ages).
  2. Mesti kita tertanya-tanya, ‘Bolehkah kerajaan Islam menukarkan sesebuah rumah ibadat kepada Masjid?’ sepertimana terjadinya pada Aya Sofya di İznik.

i- Jawapannya adalah harus menurut undang-undang Islam jika sesuatu negara itu dibuka melalui peperangan (kekerasan).
Maka seseorang pemerintah Muslim dibenarkan untuk memusnahkan rumah-rumah ibadah (selain masjid) dan mengusir non-muslim keluar dari negara tersebut jika dia berkeinginan.

ii- Tetapi jika sesuatu tempat itu dibuka secara aman tanpa ada pertumpahan darah, jadi mana-mana bangunan ibadah yang berkaitan dengan Ahli Kitab tidak boleh dimusnahkan atau dirobohkan sama sekali dan tempat ibadat baru yang ingin dibina di bawah wilayah Islam tidak dibenarkan jika masih ada bangunan yang boleh diperbaiki semula.

Namun  perkara ini tidak dilaksanakan secara total kerana kita masih dapat melihat rumah-rumah ibadat (Gereja-Sinagog) di Turki sehingga kini.

Rujukan :

  • Ottoman History Misperception & Truth (Pof. Dr. Ahmed Akgündüz dan Prof. Dr. Said Öztürk), 
  • Osmanlı Tarihi (Prof. Dr Mehmet Maksudoğlu)

Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah

Leave a Comment

Your email address will not be published.

×

Salam!

Pilih konsultan kami di bawah ini untuk merangka bentuk percutian anda di Turki!

× Dapatkan Konsultasi Percuma Di Sini