Episod 2 : Bangkitnya Singa Dari Tidur Yang Lena

                              Ilustrası Pahlawan Kerajaan Turki Seljuk pada abad ke-13

Seramai 400 orang penunggang kuda daripada kaum Kayı daripada susur galur Oğuz Khan ini  juga telah berhijrah dari timur ke barat dan telah pun menetap di Mahan, Parsi (yang kini di dalam negara Iran) di bawah pemerintahan Kerajaan Seljuk. Seljuk Bey adalah pengasas utama bagi Kerajaan Seljuk  yang mana mereka ini juga adalah daripada keturunan Oğuz Khan.

Semasa kaum Kayı mula memasuki wilayah itu, Kerajaan Seljuk sudah pun berjaya membuka dan memerintah kota Parsi, Syria dan Caucasus dan seterusnya sebahagian besar Anatolia.

Sejak daripada itu, pemerintahan mereka semakin kuat dan berpengaruh sehingga telah menjadi Daulah Seljuk.

Daulah Seljuk terbahagi kepada 4 kerajaan :

  1. Kerajaan Seljuk Syria . (1069 – 1118)
  2. Kerajaan Seljuk Kirman (di Selatan Iran).  (1048 – 1187)
  3. Kerajaan Seljuk Irak & Khorassan .  (1119 – 1194)
  4. Kerajaan Seljuk Anatolia (Türkiye). (1077 – 1308)

Peta (1040 – 1157): Warna Kuning di atas menunjukkan pemerintahan Daulah Seljuk .
Warna oren pula menunjukkan pemerintahan Empayar Byzantin.

(Sumber Gambar)

Kaum Kayı telah pun  memeluk agama Islam sebelum  mereka berpindah melalui pedagang-pedagang muslim yang berdagang di penempatan lama mereka pada zaman khilafah Abbasiyah lagi. Daulah Uthmaniyyah yang kita ketahui sekarang adalah berasal daripada suku kaum Kayı.

Sewaktu kesultanan Seljuk masih kuat dan mempunyai kedudukan di dalam pemerintahan Abbasiyah, sebagai  ketua kaum Kayı, Ertuğrul bin Gündüz Alp telah berkhidmat di bawah kesultanan Seljuk sebagai Beğ pada 1279 dengan jayanya.

Nota : Beğ bermaksud pemimpin/gabenor di sesuatu kawasan
Sultan Giyasuddin Keyhusrev III (1264-1283) iaitu pemerintah Seljuk telah berbesar hati untuk memberi sebuah bandar kecil di kota Söğüt, Bilecik  sebagai kediamannya ketika musim sejuk dan juga bandar Domanich,Kütahya ketika musim panas. Pada 1281, di kota Söğüt inilah Ertuğrul telah dijemput ke Rahmatullah dan dimakamkan dı situ.

Kejatuhan institusi Khilafah Abbasiyyah akibat lemahnya sistem pentadbiran mereka ditambah lagi dengan kelalaian mereka mengamalkan segala perintah Allah dan Rasulullah S.A.W, maka Allah telah datangkan bala melalui serangan besar-besaran dari puak Tartar yang diketuai oleh Hulagu Khan pada 1258M.

Setelah runtuhnya kerajaan Islam Abbasiyyah, muncul pula satu kerajaan Islam yang mengiktiraf diri mereka sendiri sebagai khalifah pada 1284M  melalui slogan,

“ Kedudukan kita adalah  sebagai ظلّ الله في الأرض
 [cara baca : zillullahu fil ard]
(bayang-bayang  Allah di atas muka bumi iaitu sebagai khalifah). 

Mereka itu adalah Kerajaan Seljuk Anatolia yang berusaha untuk mengekalkan institusi khilafah ini (1075M-1308M) walaupun dahulu pemerintahan Daulah Seljuk yang begitu luas sudah mula berpecah-pecah mengikut Atabeylik masing-masing kerana sistem pemerintahan sudah semakin lemah.

Nota : Atabeylik adalah putera-putera Seljuk yang ditempatkan untuk dibesarkan di sesuatu wilayah.

Makam Ertuğrul Gazi di Söğüt, Bilecik.

Selepas kembalinya Ertuğrul ke rahmatullah, kaum Kayı telah sepakat untuk melantik anaknya Osman bin Ertuğrul sebagai ketua mereka yang baru. Malah Osman juga telah diberikan mandat sebagai Beğ di kota Söğüt pada 1284.

Osman Beğ mentadbir kawasannya dengan penuh karisma & integriti sehingga beliau berjaya membuka Karajahisar yang ditadbir oleh kerajaan Rom Timur dengan nikmat iman dan Islam pada 1288M.

Seterusnya 1/5 daripada hasil rampasan perang tersebut telah dihantar kepada Sultan Seljuk Giyaseddin Mes’ud II untuk disimpan di Baitulmal.

Pembukaan ini  telah menggembirakan hati Sultan ketika itu, maka baginda telah memberi beberapa hadiah  kepada Osman berbentuk bendera, trompet, drum dan jubah.

Nota : Pemberian hadiah seperti itu sebagai tanda seseorang Beğ dinaikkan pangkat di bawah pemerintahan Seljuk.

Sedemekian itu, Sultan mula memandang serius kepada Osman dan berniat untuk menjadikannya sebagai waris kerana Sultan Giyaseddin Mes’ud II tidak dikurniakan walaupun seorang anak.

Pada tahun berikutnya 1289M, Osman Gazi yang telah memegang kota Karajahisar, dihadiahkan pula kota Eskisehir  melalui pemberian Sultan.

Selepas beberapa waktu, sebagai ahli waris bagi beberapa buah bandar melalui bapanya Ertuğrul, beliau telah mengisytiharkan bahawa dirinya bebas daripada berkhidmat daripada mana-mana kerajaan.

Selepas itu, beliau menubuhkan sendiri satu kerajaan dengan menggunakan namanya sebagai pengasas iaitu

Devlet-i Aliyye-i Osmaniyyeh
(Daulah Uthmaniyyah yang Agung).

Namun penubuhan ini tidaklah menjadikan kerajaan Seljuk dan kerajaan Uthmaniyyah berpecah dan saling bermusuhan, malah ia merancakkan lagi pembukaan dan penyebaran Islam di wilayah Anatolia.

                                             Keratan naskah dari ‘Osmanlıca’ (bahasa Uthmaniyyah)

Osman mula memartabatkan bahasa kaumnya yang dipanggil ‘Osmanlıca’  (bahasa Uthmaniyyah) yang mana asas kepada bahasa tersebut adalah campuran daripada bahasa Turk, Arab & Parsi secara umumnya.

 

Kota demi kota berjaya dibuka oleh Osman Gazi bersama sekutunya Abdullah Mihal (nama sebelum memeluk Islam, Köse Mihal) yang merupakan bekas gabenor Rom Timur (Byzantine) sewaktu ketika dahulu.

Hampir keseluruhan kota di wilayah Anatolia berjaya dibuka sehingga Osman Gazi jatuh sakit pada 1320M.

Untuk mengisi kekosongan itu, anaknya Orhan Beğ mula mengambil alih tampuk kepimpinan sehinggalah ayahandanya meninggal dunia ketika beliau berjaya membuka kota Bursa pada 726H/1326M dan telah menjadikan kota Bursa sebagai pusat pemerintahan pertama Daulah Uthmaniyyah.

Seterusnya berpindah ke kota Iznik selepas pembukaan kota tersebut pada 728H/1328M melalui kekalahan kerajaan Rom yang diketuai oleh Andronicos III.

Osman Gazi telah mengasaskan Daulah Uthmaniyyah melalui prinsip  berjihad di jalan Allah dan telah mewasiatkan kepada anaknya ,

“Jika sesiapa yang menyuruh engkau melakukan sesuatu
yang bercanggah daripada suruhan Allah,
maka jangan engkau turutinya.
Rujuklah kepada alim-ulama (ahli ilmu)
jika engkau tidak mengetahui sesuatu hal”.

 

Rujukan :

  1. Osmanlı Tarihi 1289-1922  (Prof. Dr. Mehmet Maksudoğlu), 
  2. Ottoman History Misperception & Truth (Pof. Dr. Ahmed Akgündüz dan Prof. Dr. Said Öztürk)

Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah

Klik Gambar Di Atas
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on google

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Teruskan Membaca

Budaya & Masyarakat Tempatan
Shafiq Shafie

Jom kenali geografi Istanbul

“If the earth were a single state, Istanbul would be its capital.” Itulah kata-kata Napoleon Bonaparte apabila dia meluaskan empayar di ke Mesir. Bukan Napoleon sahaja yang

Read More »
× Dapatkan Konsultasi Percuma Di Sini